Elfaeza Ul Haq jawab isu buka hijab
5:47 AM
Dilempar cacian dan kata nista ekoran tindakannya membuka hijab ketika berlakon,
Elfaeza Ul Haq tidak mengharapkan peminat faham situasi yang dihadapi sehingga terdorong membuat keputusan yang mencetuskan kontroversi panas di media sosial itu.
Tampil memberi penjelasan, Elfaeza yang berasal dari Singapura berkata, situasi yang dihadapi ketika itu amat rumit apatah lagi membabitkan tanggungjawab dan amanah terhadap syarikat produksi yang menawarkannya watak dalam drama rantaian 199 episod itu.
Elfaeza berkata, kontrak menjayakan drama rantaian terbabit ditandatangani ketika dirinya belum berhijab.
"Bagi saya, kerja tetap kerja dan agama tetap agama. Saya bukan orang alim atau cuba berpura-pura alim. Jadi sebagai pelakon, saya harus selaraskan perkara itu.
"Takkanlah hanya kerana saya yang membuat keputusan berhijab, saya hendak menyusahkan pihak produksi dan memaksa mereka membenarkan saya pakai hijab dalam drama?
"Jika mereka tidak bersetuju, maka saya memilih untuk berhenti kerja? Adakah itu tindakan yang betul? Saya rasa tidak kerana ini adalah keputusan saya dan saya perlu menanggungnya sehingga kontrak tamat," katanya.
Elfaeza berkata, dia tidak mahu membebankan pihak lain biarpun prinsip hidupnya diuji dengan insiden itu.
"Saya tidak mahu membebankan pihak lain kerana Islam tidak sepatutnya menyusahkan orang lain.
"Bagaimanapun, kontrak itu sudah tamat. Insya-Allah, rezeki saya selepas ini tidak memerlukan saya untuk membuka hijab. Jika adapun, saya tidak akan menerimanya," janji gadis ini.
Sumber bharian
0 comments
Note: Only a member of this blog may post a comment.