Terbaik! Pelakon Amerul Affendi selesa ternak kerbau, tanam sayur

4:59 AM

KUALA LUMPUR: Andai tidak terikat dengan penggambaran mahupun urusan lain, kelibat pelakon, Amerul Affendi, boleh dilihat di Temerloh, Pahang, mengerjakan tanah bersama-sama bapanya.
Tidak kisah bergelumang dengan kotoran dan lumpur, bintang Terbaik Dari Langit ini mengakui bidang penternakan dan pertanian yang diusahakan sejak beberapa bulan lalu semakin sebati dalam diri.
Bukan sekadar menanam kelapa sawit, pisang dan sayur-sayuran, Amerul atau nama sebenarnya Mohd Amerul Affendi Mohd Mawardi, 30, turut menternak kerbau.
"Semua ini perancangan untuk masa depan kami sekeluarga. Dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu, saya perlu mencari alternatif lain dan pertanian pula memang dekat dengan jiwa saya.
"Buat waktu ini, saya kerap berulang-alik antara rumah saya di Kuala Pilah, Negeri Sembilan ke Temerloh. Walaupun ayah ada untuk memantau, namun saya juga perlu turun ke sana selalu.
"Jika diikutkan, jauh juga perjalanan yang perlu saya tempuh, tetapi melihat sendiri tanaman dan ternakan membesar membuatkan saya lebih puas. Lagipun, bidang pertanian ini masih baharu, jadi banyak lagi perkara yang perlu saya pelajari," kata Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik, Festival Filem Malaysia ke-27 ini ketika ditemui pada sidang media teater Bikers Kental di sini, baru-baru ini.
Teater yang turut membariskan Awie, Zizan Razak dan Nadia Brian itu dipentaskan di Istana Budaya sehingga 31 Januari ini.
Beliau yang kini mempunyai kira-kira 30 ekor kerbau menyatakan, perusahaan yang baru dipeloporinya itu memerlukan pengawasan teliti, sekali gus pada masa sama mencari peluang pasaran.
"Selain mengetahui selok-belok mengenai penjagaan tanaman dan ternakan, saya juga mempelajari bidang pemasaran. Saya turut memasang impian mengikuti kursus jangka pendek pada masa akan datang," katanya yang menyerlah dalam filem Bunohan dan Polis Evo.
Beliau meluahkan kesyukuran kerana perjalanan mereka dalam bidang baharu itu dipermudahkan dan pada peringkat awal ini, mereka dibantu oleh pekerja berpengalaman.
Katanya, pada peringkat sekarang mereka bermula secara kecil-kecilan dulu, sebelum memutuskan untuk membesarkan lagi perusahaan terbabit pada satu masa nanti.

-bharian

You Might Also Like

0 comments

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Traffic