Saya tidak menolak jika sudah ditentukan jodoh saya dengan Aisyah. -Aizat
7:36 AM
AMPANG: Gosip keintiman antara mereka bertebaran baru-baru ini apabila kedua-duanya dilihat keluar makan bersama-sama.
Bintang Akademi Fantasia, Aizat Amdan, 27, menafikan dia menjalinkan hubungan cinta dengan penyanyi kelahiran Singapura, Aisyah Aziz.
Penyanyi yang juga seorang komposer itu bagaimanapun memberitahu, dia berkawan baik dengan bintang berusia 21 tahun itu, apatah lagi dia bertanggungjawab menghasilkan single berjudul Pilihan Sejati untuk artis remaja berkenaan.
Ditemui pada majlis pelancaran restorannya di sini, hari ini, Aizat begitupun berkata, dia tidak menolak seandainya hubungan atas dasar kawan itu akhirnya menyatukan mereka berdua.
"Saya dengan Aisyah sekadar rakan sekerja. Tiada ikatan istimewa antara kami kerana hubungan ini adalah sekadar kawan biasa.
"Jangan salah anggap kerana kami rapat disebabkan atas faktor kerja dan kami keluar makan bersama pun selepas selesai rakaman. Ketika itu saya lapar, lalu mengajaknya keluar makan bersama," katanya.
Menyedari ada peminat yang terserempak dengan mereka di sebuah pusat beli-belah, Aizat menganggap ia perkara biasa. Dia juga tidak menyangka perkara itu menjadi bualan peminat.
"Saya dengan Aisyah saling bekerjasama, sama seperti saya bekerja dengan penyanyi wanita lain. Mungkin secara kebetulan ada peminat nampak saya dengan dia dan ia menjadi perhatian.
"Hakikatnya, kami memang tiada apa-apa hubungan istimewa mahupun bercinta. Namun, saya tidak menolak jika sudah ditentukan jodoh saya dengannya," katanya.
Ditanya mengenai ciri-ciri wanita idamannya, penyanyi ini berkata, dia inginkan wanita beriman, mempunyai keserasian dan boleh berkongsi perancangan yang sama dengannya.
"Selain itu, saya juga sukakan wanita yang mempunyai minat sama dengan saya dan bijak berdikari," katanya.
Enggan terburu-buru mencari jodoh, Aizat sebaliknya menjadikan 2016 sebagai tahun untuk mengukuhkan lagi kerjaya seni, selain menguruskan syarikatnya, Kasi Gegar Entertainment, studio rakaman dan restoran masakan Pahang yang baharu diusahakan.
-bharian
0 comments
Note: Only a member of this blog may post a comment.