­
­

'Sampai masa, saya kahwin juga'

9:02 PM

Sepanjang membabitkan diri dalam bidang seni, jarang benar pelakon dan penyanyi Farahdhiya, 32, dikaitkan dengan gosip cinta.


Paling hangat diperkatakan sebelum ini apabila ada yang mendakwa Farah atau Farahdhiya Mohd Amin, bercinta dengan suami orang tetapi dinafikan penyanyi yang popular dengan lagu Bertakhta Di Hati itu.
Siapa sebenarnya lelaki yang bertakhta di hati Farah? Bertemunya baru-baru ini, Farah yang kini makin dikenali semula sebagai penyanyi selepas menyertai Gegar Vaganza musim kedua mengatakan dirinya tidak menjalin hubungan cinta dengan mana-mana lelaki.

Naib juara GV2 itu akui dia sendiri tidak pernah terfikir untuk bercinta. Malah mencari pun tidak katanya.
“Memang saya malas untuk fikir mengenai perkara itu. Rasanya lebih baik saya menumpukan perhatian terhadap kerjaya seni,” katanya.

Adakah ia kerana Farah kecewa dengan hubungan cinta sebelum ini sehingga membuat keputusan tidak mahu memikirkan soal cinta dan berumah tangga? Tapi Farah menegaskan ia tiada kena mengena dengan soal kecewa atau putus cinta.

“Bukan sebab kecewa atau takut hati terluka menyebabkan saya tidak mahu bercinta, sebaliknya saya lebih senang dengan situasi sekarang.

“Mungkin juga kerana sekarang ini saya terlalu sibuk dengan kerjaya seni menyebabkan saya tidak punya masa untuk memikirkan soal cinta atau teman hidup,” katanya.

Katanya, sejak menyertai GV2 jadual kerjayanya memang terlalu sibuk hampir setiap hari.

“Bayangkan dari Isnin hingga Jumaat saya di lokasi penggambaran drama dan hujung minggu pula biasanya saya ada tempahan untuk mengadakan persembahan.

“Bagaimana kalau saya bercinta? Mana saya nak curi masa untuk bersama kekasih hati. Bagi saya, masa yang ada sangat terhad hinggakan untuk meluangkan masa bersama keluarga pun jarang,” katanya.

Hendak diikutkan bagi wanita apabila usia mencecah 30, soal teman hidup dan kahwin ada ketikanya akan memberi tekanan. Lebih-lebih lagi apabila kebanyakan rakan sebaya sudah bernikah dan dikelilingi anak. Tapi Farah akui tidak pernah berasa tertekan atau terdesak untuk mempunyai kekasih atau berkahwin dalam waktu terdekat.

“Mengapa saya harus berasa tertekan. Bukankah jodoh sudah ditentukan? Saya tidak perlu pening kepala untuk fikir sebab saya percaya jodoh saya sudah ditetapkan. Kalau sampai masanya, saya akan berkahwin juga.

“Daripada pening kepala nak fikir siapa jodoh saya, lebih baik saya fikir bagaimana untuk kukuhkan kerjaya seni.

Siapa tahu dalam sibuk bekerja tiba-tiba jodoh saya datang dan terus bernikah. Saya rasa itu lebih baik,” katanya.

Mengenai perancangan kerjaya selepas muncul naib juara GV2, kata Farahdhiya selain sibuk di lokasi drama bersiri Bodyguard, dia juga sibuk menyiapkan single terbaru ciptaan Tam Spider dan lirik Keon.

“Saya percaya dengan hasil karya Tam. Malah lagu popular saya, Bertakhta Di Hati juga turut dicipta oleh Tam. Pendek kata, saya dan Tam memang ada keserasian kerana dia tahu kemampuan saya,” katanya.
Pernah menghasilkan dua album, Bertakhta Di Hati pada 2004 dan Yang Ku Puja (2006), Farah lebih dikenali sebagai pelakon sejak menceburi dunia lakonan melalui drama pertama, Mencari Arah Kiblat pada 2007.

Drama bersiri Spa Q menaikkan namanya sebagai pelakon hingga ramai mengenalinya sebagai pelakon berbanding penyanyi.

-hmetro

You Might Also Like

0 comments

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Traffic