Pasangan suami isteri terkejut, bayi tertukar
6:13 AM
Sepasang suami isteri terkejut apabila bayi yang disangka anak mereka sebenarnya milik kepada pasangan lain, dipercayai akibat kecuaian kakitangan sebuah pusat perubatan swasta di sini.

Mahani Zakaria yang masih trauma dengan kejadian pertukaran cahaya mata kelimanya di sebuah pusat rawatan swasta di Jitra, Kedah, semalam.
Bapa bayi tersebut, Nik Ahmad Sabri Mohamad Yusoff, 37, berkata, dia hanya menyedari kejadian itu sehari selepas isterinya, Mahani Zakaria, 36, yang bersalin cahaya mata kelima mereka pada pukul 4 petang Selasa lalu, menerima panggilan daripada pusat rawatan berkenaan pada pukul 8 malam.
“Kami agak terkejut apabila tengok tanda nama di kaki bayi itu memang nama orang lain, tetapi sepanjang satu hari di hospital dan hingga ke rumah, isteri saya telah menyusukan bayi itu.
“Bayi itu sudah pun dua hingga empat kali kenyang dan telah menjadi anak susuan,” katanya ketika ditemui di rumahnya di kuarters institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di sini hari ini.
Nik Ahmad Sabri yang merupakan guru agama mendakwa, pusat perubatan tersebut juga tidak menyedari perkara tersebut sehinggalah pasangan sebenar bayi itu memaklumkan apa yang terjadi.
“Hospital pun seolah-olah tidak mahu ambil kisah dan apabila pasangan tersebut bawa bayi itu ke hospital untuk tunjuk bukti bahawa memang bertukar, baharu mereka telefon, itu pun setelah tertangguh beberapa jam,” katanya.
Tambahnya, Mahani yang trauma dengan kejadian itu terpaksa dimasukkan semula ke pusat rawatan tersebut bagi tujuan pengambilan sampel darah untuk ujian asid deoksiribonukleik (DNA).
Ekoran kejadian itu, Nik Ahmad Sabri membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu kira-kira pukul 12 tengah malam tadi dengan mendakwa kejadian itu berpunca daripada kecuaian pihak pusat perubatan tersebut.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Abdul Rahim Abdullah ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu dan kes dianggap selesai setelah pengadu menukar kembali bayi masing-masing.
0 comments
Note: Only a member of this blog may post a comment.