Muncul semula selepas enam tahun. Doakan yang terbaik untuk cahaya mata. - Atilia
10:56 PM
Enam tahun lamanya menyisih dari radar hiburan tanah air, kemerduan suara Atilia Haron tidak dinafikan sangat dirindui.
Terbukti, penyanyi lagu Sangkar itu sememangnya berada dalam kelas tersendiri apabila peminat terus mengikuti karier nyanyiannya.
Bagaimanapun, penantian peminat penyanyi berusia 42 tahun itu pasti berakhir apabila kini dia tampil dengan single terbaru berjudul Aku Curiga sekali gus menyaksikan Atilia sudah bersedia sepenuhnya untuk kembali mewarnai seni suara tanah air.
Mana tidaknya, cuma aktif di Instagram dengan aktiviti perniagaan serta yoga, peminat menyangka dia sudah tidak menyanyi.
Kali terakhir Atilia menghasilkan album ialah enam tahun lalu.
“Desakan yang saya dapat daripada peminat boleh dikatakan hari-hari. Mereka kerap bertanyakan bila saya akan kembali dengan material baru dan itu antara faktor akhirnya saya masuk kembali ke studio.
“Suami juga sebenarnya menyedarkan bahawa sudah terlalu lama saya tidak pedulikan karier muzik. Ia membuka fikiran saya untuk bekerja semula menghasilkan lagu baru untuk dipertaruhkan,” katanya.
Atilia yang ditemui kelmarin pada pelancaran muzik video single berkenaan berkata, album penuhnya dilancarkan selewat-lewatnya Mei nanti.
“Album studio ketiga saya sangat istimewa kerana ia bakal membawa kembali melodi yang lebih kurang seperti album Sangkar. Saya menetapkan konsep itu kerana ia lebih tepat menggambarkan bagaimana muzik Atilia yang sebenar.
“Yang pasti, saya turut berkolaborasi dengan beberapa artis termasuk ibu sendiri Salamiah Hassan, Adibah Noor dan Lokman Aslam. Istimewanya, ini pertama kali saya dan ibu menyanyikan lagu duet untuk lagu Jewels of My Heart,” katanya.
Selain itu, Atilia juga melahirkan rasa syukurnya kerana Warner Music Malaysia bersetuju menjadi pengedar album ketiganya kelak.
“Dapat bekerjasama dengan Warner Music memberikan saya lebih harapan memandangkan sambutan album terdahulu tidak sebagus di Indonesia,” katanya.
Pada majlis itu, Atilia juga sempat memperdengarkan single kedua untuk album berkenaan berjudul Segalanya hasil duet bersama Lokman Aslam.
Berusaha mendapatkan cahaya mata
Sejak berkahwin dengan jurutera bunyi Adam Sofian pada 31 Ogos 2014 lalu, Atilia kini berusaha mendapatkan cahaya mata.
Katanya, faktor itu juga antara penyebab dia memperlahankan karier seni sebelum ini kerana mahukan zuriat secepat mungkin.
“Dari awal perkahwinan lagi kami sudah berusaha untuk mendapat anak. Tidak mahu menekan diri, namun doakanlah kami dapat cahaya mata secepat mungkin kerana saya pun sudah berusia 42 tahun,” katanya
Sementara itu, Atilia dan suaminya juga bakal menganjurkan sebuah konsert bertempat di Istana Budaya pada 5 dan 6 Mac depan.
Konsert itu bakal menggabungkan nama-nama handalan termasuk dia, Salamiah Hassan, Adibah Noor, Julie Sudiro dan ramai lagi.
0 comments
Note: Only a member of this blog may post a comment.