HOT! 5 WANITA SOLO popular
7:28 AM
Wan Sharmila
HAMPIR tujuh tahun menjanda, mungkin ramai sebenarnya yang lupa akan status yang dibawa Wan Sharmila ini.
Bagaimanapun bagi sesiapa yang cukup meminati lakonan Wan Sharmila pasti tidak menolak, wajah hitam manis dan manja wanita ini sebenarnya cukup dekat di hati peminat drama Melayu kita kini. Sebenarnya bukan mudah untuk Wan Sharmila mencipta nama, malah mengambil masa yang agak lama juga untuk dia meyakinkan peminat.
Bagaimanapun selepas beberapa tahun, namanya kini hanya dikenali sebagai seorang pelakon yang cukup komited tanpa kontroversi berat. Malah jarang-jarang juga mendengar kisah cintanya dengan mana-mana lelaki, mungkin pelakon ini sendiri lebih senang memberi tumpuan kepada kerjayanya sahaja.
Tetapi kami percaya jauh di sudut hati wanita berusia 34 tahun ini, dia sebenarnya sudah bersedia untuk melangkah ke fasa baharu hidupnya. Siapa tahu, tahun 2016 bakal memberi kisah lebih bahagia buat Wan Sharmila.
Maya Karin
BIJAK dan cantik menghiasi langkah Maya Karin dalam industri hiburan negara ini. Walaupun nama Maya lebih dikenali sebagai pelakon namun jangan dilupa dunia nyanyian juga sedikit sebanyak mewarnai dunia seni Maya.
Kalau dilihat nama Maya agak kurang untuk ditembusi kontroversi berat. Tetapi kami percaya, sikap dan pilihan Maya sendiri untuk berada dalam bidang ini bukan sekadar bersandarkan populariti menyebabkan dia mudah mengatur apa yang perlu peminat tahu. Jadi tidaklah terkejut sangat kalau Maya ini memang dikenali sebagai antara artis yang bersih.
Berkahwin pada 2008 di Itali, dan hanya bertahan selama dua tahun dan kini sudah masuk tahun keenam dia menjalani kehidupan solo itu antara rentetan kehidupan Maya. Menjejaki kehidupan cinta Maya sehingga sekarang juga tidak banyak kedengaran lagi, tetapi ikutkan Maya memang seorang yang bijak dalam berahsia.
Malah setiap kali ditanya Maya yang juga mempunyai darah kacukan Jerman, tidak banyak yang mahu dikongsi Maya sendiri. Siapa juga yang bakal menawan hati wanita ini kelak adalah seorang yang cukup bertuah.
Selain cantik dan berbakat, antara kelebihan Maya juga adalah cukup hebat dalam bidang hartanah. Kalau tidak silap, dia juga baru-baru ini ada mendedahkan membuat pelaburan dalam bidang itu di luar negara dan statusnya sudah mencapai tahap sebagai jutawan dengan bisnes berkenaan. Macam orang sekarang kata ‘untunglah’ kalau sesiapa mendapat cinta dan hati Maya yang seorang ini.
Erra Fazira
Menduduki tempat ketiga, adalah pelakon, penyanyi dan pengacara Erra Fazira. Merupakan ‘buah hati’ peminat filem Melayu di awal tahun 90an, Erra sering digambarkan sebagai wanita Melayu paling cantik.
Namun, apakan daya kehidupan yang dilaluinya tidak seindah wajah. Menjadi perhatian sejak 20 tahun lalu, ternyata sehingga kini kehidupan Erra tidak pernah senyap dari kisah-kisah menarik yang sering dikongsi dalam kalangan peminatnya.
Pernah berkahwin sebanyak dua kali, ternyata kecantikan tidak pernah menjamin sebuah kebahagiaan yang berkekalan untuk wanita ini. Membawa gelaran janda hampir dua tahun kini, Erra sering dilihat sebagai seorang yang cukup positif dengan kehidupan yang dilalui.
Mana tidaknya, jika selalunya ibu yang akan memenangi hak penjagaan anak, namun dalam kes Erra dengan bekas suaminya, dia merelakan anak tunggalnya Engku Aleesya, 6, untuk dibesarkan Engku Emran.
Walaupun apa alasan Erra, kami percaya sebagai seorang ibu dia jauh lebih berhak menentukan apa yang terbaik buat anak tunggalnya itu. Kami mendoakan yang terbaik buat wanita yang tidak pernah lekang dengan senyuman di wajah ini.
Rita
Rudaini
Merupakan ibu kepada dua anak comel, si cantik yang berasal dari Perlis ini sering menjadi perhatian melalui kisah mahkamah yang tidak berkesudahan. Jangan salah sangka, apa yang melayakkan dia berada di kedudukan kedua janda paling popular 2015, adalah melalui perjuangan yang dilakukan demi anak-anaknya Airit Rayyan Rizqin, 6, dan Airit Qaqa Arjuna, 4.
Dari satu sudut, Rita Rudaini sering menjadi contoh kepada ibu tunggal agar tidak terus ditindas dengan golongan lelaki. Selepas dua kali menjanda, Rita sudah cukup matang dalam membuat keputusan sendiri.
Malah ketika umurnya bakal menerjah ke angka 40, tahun hadapan, pasti banyak yang perlu dipertimbangkan Rita sendiri sebelum mahu menamatkan zaman jandanya selepas ini.
Rita juga semakin bijak dalam perniagaan. Pendek kata, lepas kena cerai, dia tidak duduk dan meratap nasib buruk diri, sebaliknya bingkas bangun dengan laju, demi masa depan yang lebih cemerlang.
Cantik dan berjaya, rasanya bukan susah untuk dia meyakinkan pihak lelaki di luar sana mengenai kemampuan dirinya.
Bagaimanapun bagi kami, bukan Rita yang perlu susah untuk meyakinkan orang di luar sana kini. Tetapi bagaimana golongan lelaki yang ingin memperisterikan dia yang perlu meyakinkan pelakon ini bahawa mereka mampu memberikan kehidupan yang jauh lebih baik dari apa yang Rita ada setakat kini.
Nora Danish
Selepas bercerai pada 2008, ternyata Nora Danish lebih selesa untuk terus solo sehingga kini. Jika dilihat pada awal perceraiannya, Nora digambarkan sebagai wanita yang cukup tabah mengharungi kehidupan pada waktu itu. Mana tidaknya diceraikan ketika dia sedang mengandung, Nora dilihat sebagai mangsa keadaan yang cukup kejam.
Bagaimanapun, itu apa yang berlaku beberapa tahun lalu. Kini kehidupan ibu tunggal kepada Putera Rayqal Rizal Ashram, 7, ini jauh lebih baik dari dahulu, digelar sebagai antara pelakon wanita paling popular, Nora memang layak untuk berada di mana dia kini.
Selain cantik, bakat yang dimiliki Nora juga tidak perlu dipertikai. Bagaimanapun dengan status yang dibawa dan berada dalam dunia hiburan, Nora tidak mungkin dapat lari jauh dari kontroversi. Seperti biasa hubungan cinta Nora sentiasa menjadi perbualan ramai, jika sebelum ini dia dikaitkan bercinta dengan seorang anak menteri, namun kini khabarnya dia sudah kembali solo.
Tetapi antara kontroversi yang baru sahaja menghayun dunia hiburan baru-baru ini sedikit menggemparkan. Walaupun tiada kenyataan rasmi daripada mana-mana pihak, namun khabarnya Nora menjadi sebab kepada pergolakan rumah tangga bekas suaminya dengan pelakon Fasha Sandha.
Sebab atau dijadikan sebab? Itu kena tunggu perkembangan selanjutnya. Mengikuti fakta, Nora yang berdarah Myanmar ini memang mempunyai hubungan yang cukup baik dengan bekas keluarga mentuanya.
Namun, melihat sendiri bagaimana orang ketiga mampu memusnahkan sebuah rumah tangga, mustahil buat Nora sendiri untuk berada dalam liga yang sama, bukan? Kami doa baik-baik sahaja dari jauh untuk mereka.
Sumber: utusan
0 comments
Note: Only a member of this blog may post a comment.